KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon tinggi lampai, Elizabeth Tan tidak menafikan single terbaru, Police Entry ditujukan kepada bekas kekasihnya.
Putus cinta tahun lalu, Elizabeth yang mengaku murung berbulan-bulan akibat kasih tak kesampaian, tidak kisah dendangan terbarunya itu mencetus polemik mengenai sikap individu yang suka menipu.
Mengambil idea daripada permainan popular kanak-kanak, Police Entry, single ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu menceritakan gelagat mereka yang suka berbohong.
"Saya dapat rasakan lagu ini dicipta komposer untuk memberi gambaran kepada bekas kekasih. Jadi secara tak langsung, ia sesuai ditujukan kepada bekas kekasih saya.
"Saya tak kisah.... Siapa makan cili dialah rasa pedas. Memang lagu ini boleh dikaitkan dengan dia," katanya kepada BH Online pada majlis pelancaran single Police Entry di sini, hari ini.
Tahun lalu, Elizabeth atau mesra disapa Lizzy dikatakan bercinta dengan jejaka Melayu yang juga usahawan. Namun, hubungan mereka putus di tengah jalan.
Mengulas lanjut mengenai kisah cinta tak kesampaian itu, Elizabeth berkata, dia tidak pernah berdendam dengan bekas kekasihnya itu.
"Semua itu menjadi pengalaman yang mematangkan diri. Dulu emak saya berpesan, jangan bercinta dengan dia... Tapi saya cintakan dia.
"Saya banyak belajar daripada insiden itu... Sampai murung beberapa bulan.
"Sekarang, saya sudah okay dan bahagia biarpun tanpa cinta," katanya.
Bersandarkan formula judul 'catchy', Elizabeth optimis dengan single berkenaan.
Tambah penyanyi Knock Knock ini, selepas lebih setahun memperlahankan rentak nyanyian demi memberi tumpuan kepada bidang lakonan, dia sangat teruja menghadiahkan single terbaru itu.
"Ini pertama kali saya menggunakan khidmat Hael dan Ezra. Saya harap lagu ini akan diterima ramai," katanya.
Elizabeth berkata, dia bercadang merakamkan tiga single Melayu, tahun ini.
"Selepas Police Entry, saya akan melancarkan single kedua, Oktober depan. Ini disusuli single ketiga pada akhir tahun atau awal tahun depan," katanya yang sudah menyertai Warner Music.
Video muzik rasmi single Police Entry mula dimuat naik di YouTube, malam ini.